Selasa, September 04, 2018

SEMINAR INTERNASIONAL DA'I ISLAM MODERAT: PENGALAMAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM


PENERAPAN ISLAM & DAKWAH DALAM SOSIO BUDAYA MASYARAKAT: PENGALAMAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM*[1]
Dr. Hj. Hambali Hj. Jaili
Pendahuluan
Menurut Prof. Dr. Harun Din Islam digelarkan kepada agama yang dibawa oleh Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam. Nama ini bukanlah rekaan Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bahkan ketetapan dari Allah Subhanahu Wa Ta’ala :
Tafsirannya :  dan Aku telah redhakan Islam itu menjadi ugama untuk kamu. (Al-Maidah : 3)

      Latar belakang unsur-unsur keislaman di Brunei dapat diteliti menerusi Perlembagaan Negeri Brunei 1959. Bab 3 (1) dari Perlembagaan tersebut menegaskan bahawa ‘ugama rasmi negeri ialah Ugama Islam menurut Ahli Sunnah Wal Jama’ah, tetapi ugama-ugama yang lain boleh diamalkan dengan aman dan sempurna oleh mereka yang mengamalkannya’.

      Menurut Banci Penduduk 2017, seramai 294,000 orang iaitu melebihi dua pertiga (67%) daripada jumlah 440,000 penduduk adalah berugama Islam manakala Kira-kira 13 peratus daripada jumlah penduduk negara adalah berugama Buddha, 10 peratus berugama Kristian dan 10 peratus penganut lain-lain ugama atau tidak berugama.

      Walaupun Islam tetap menjadi Agama Rasmi negara ini, namun Islam tidak bermatlamat melakukan kezaliman kepada orang-orang bukan Islam. Ajaran agama ini masih memberi perlindungan dan tidak menggalakkan penganutnya melakukan pencerobohan atau perlanggaran hak beragama terhadap mereka (bukan Islam). Mereka boleh beribadat mengikut kepercayaan masing-masing, tetapi jangan disebar atau ditayang-tayangkan kepada orang Islam.[2]

Sejarah Kedatangan Agama Islam Ke Brunei Darussalam
Menurut Mahmud Saedon Othman (1996), agama Islam ke Brunei Darussalam dikhabarkan telah datang ke Brunei Darussalam sekitar abad ke-13 Masihi, iaitu semasa Awang Alak Betatar memeluk agama Islam dan bergelar Sultan Muhammad Shah pada tahun 1368 Masihi. Namun terdapat bukti bahwa Islam telah berada di Brunei Darussalam sebelum tarikh tersebut. Misalnya dengan menjumpai batu nisan seorang China yang beragama Islam dengan catatan tahun 1264 Masihi.Keislaman Baginda telah diikuti oleh keluarga diraja, pembesar-pembesar Negara dan sebilangan besar rakyat jelata terutama yang tinggal di ibu kota dan kawasan-kawasan di sekitarnya. Islam terus berkembang selepas Sultan Muhammad Shah mangkat, khasnya setelah Sharif Ali diangkat menjadi Sultan Brunei ketiga. Baginda dikatakan daripada keturunan Saiyidina Hassan, cucu Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam, berasal dari Ta’if. Sebagai seorang ulama, Baginda menyedari kewajipan dakwah ke atas setiap individu Muslim, dan kepentingannya kepada kesejahteraan ummah dan kekukuhan Negara. Dengan yang demikian, Baginda telah mempertingkatkan gerakan dakwah kepada orang Islam dan juga kepada orang yang bukan beragama Islam. Bahkan Baginda bukan sahaja berusaha mengislamkan seluruh penduduk Brunei, malahan Baginda telah pergi ke Jawa untuk mengislamkan Raja Mahapahit yang bernama Perabu Angka Wujaya.

Zaman Kegemilangan Kesultanan Brunei Dalam Pembangunan dan Pentadbiran Islam
Sultan Sharif Ali (1425m – 1432 m)
Baginda adalah Sultan Brunei yang Ketiga dari salasilah kesultanan Brunei. Gerakan dakwah dan pengaruh Islam berkembang pesat apabila Sharif Ali yang dikatakan berasal dari keturunan Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam melalui Saidina Hassan atau Saidina Hussain, tetapi banyak keterangan yang menguatkan bahawa ia dari Saidina Hussain. Beliau datang bersama seorang sahabatnya bernama Sayid Alwi Ba-Faqih (terkenal dengan nama Sharif Mufaqih). Peranan yang dimainkan oleh Sharif Ali ini ialah berdakwah dan setelah Berjaya menyebarkan Islam, beliau berkahwin dengan puteri Sultan Ahmad bernama Puteri Ratna Kesuma. Setelah Sultan Ahmad mangkat, Sharif Ali atas sokongan orang ramai mengambil alih takhta sebagai sultan yang bergelar Sultan Sharif Ali, memandangkan al-marhum Sultan Ahmad tidak  memiliki putera. Peristiwa ini berlaku dianggarkan dalam lingkungan sebelum tahun 1426m kerana menurut catatan China, selepas tahun 1425m itu, hubungan di antara China dengan Puni (Brunei) semakin renggang dan akhirnya putus. Kemungkinan hal ini berlaku disebabkan pertukaran polisi luar negaranya yang tersendiri.

Sultan Sharif Ali (Sultan Brunei III) dikatakan seorang sultan yang kuat beribadat dan mempunyai berkat, sehingga baginda termasyhur dengan gelaran ‘Sultan Berkat’. Bagindalah yang mula-mula mendirikan masjid, mengatur dan menguatkan pertahanan negara dengan mengarahkan rakyat membina Kota Batu. Sumbangan baginda ini adalah sebagai manifestasi syiar Islam. Baginda jugalah yang menjadi imam dan membaca khutbah. Ini bermakna baginda itu bukan sahaja bertindak selaku pemerintah, tetapisecara langsung berdakwah dan menyampaikan ajaran Islam itu kepada penduduk tempatan.

Sultan Omar Ali Saifuddin III (1950m – 1967m)
Apabila Sultan Omar Ali Saifuddin menaiki takhta pada 6 Jun 1950 masihi, maka bermulalah era baru dalam pembangunan Brunei. Baginda telah merintis perkembangan Brunei dengan membuat beberapa perubahan besar dalam pentadbiran Islam. Pendidikan agama disusun semula, gerakan dakwah dipergiat, pembinaan masjid diperbanyakkan dan ajaran Islam diusahakan untuk dilaksanakan dalam semua bidang kehidupan termasuk penggubalan Perlembagaan Brunei pada tahun 1959 yang meletakkan agama Islam sebagai agama rasmi, penubuhan Jabatan Hal Ehwal Ugama pada 1954 dan penubuhan Majlis Ugama Islam pada 1955, Majlis Syariah pada 1954, Adat Istiadat dan Kebajikan Masyarakat 1954, mendirikan institusi pelajaran agama bagi semua peringkat masyarakat Islam termasuk membangunkan Sekolah Arab Lelaki dan Perempuan dan banyak lagi sehinggakan Baginda digelar sebagai ‘Arkitek Brunei Moden’.

Berkenaan dengan penubuhan Majlis Ugama Islam, suatu undang-undang telah digubal untuk menyatukan Undang-undang Adat Istiadat Melayu, Mahkamah kadi, Perlembagaan dan Pertubuhan pihak-pihak yang berkuasa dalam agama dan peraturan hal ehwal ugama. Kedudukan Majlis Ugama Islam ini adalah tinggi dan mempunyai status dan kehormatan yang tersendiri, di samping mempunyai kuasa dan wibawa yang besar dalam membuat dan menentukan dasar mengenai masalah kegamaan dan pentadbiran di negara ini. Tugas dan peranan utama Majlis Ugama Islam ialah membantu dan menasihatkan sultan segala yang berkaitan dengan agama Islam.

Sultan Haji Hassanal Bolkiah (1968m – sehingga masa kini)
Baginda menaiki takhta pada 4 Oktober 1968 menggantikan ayahandanya dengan meneruskan usaha-usaha terhadap perkembangan Islam yang sedia ada sebelum itu. Pelbagai usaha telah dijalankan untuk mengembangkan Islam dalam pelbagai aspek kehidupan sama ada berkaitan dengan akidah mahupun muamalah, feqah, ibadah, perundangan, pendidikan termasuklah juga dakwah kepada orang bukan Islam. Di dalam titah pemasyhuran kemerdekaan Brunei Darussalam pada pagi 1 Januari 1984, Baginda telah bertitah menjadikan ‘Melayu Islam Beraja’ (MIB) sebagai falsafah dan dasar negara menurut fahaman Ahli Sunnah Waljama’ah. Pada zaman.

pemerintahan Baginda ini, tahap pelajaran agama telah ditingkatkan hingga ke peringkat menengah dan tinggi seperti membina Maktab Perguruan Ugama, membina Ma’had Islam Tutong, membina Institut Pengajian Islam Brunei Darussalam, membina Universiti Brunei Darussalam yang di dalamnya juga terdapat Fakulti Pengajian Islam, membina Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah yang mana kesemua ini menunjukkan adanya keinginan Baginda untuk melihat mutu dan tahap pelajaran agama di negara ini meningkat tinggi dari semasa ke semasa. Bagi membolehkan institusi-institusi agama berjalan dengan licin dan sempurna sesuai dengan kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi di negara ini, maka pada tahun 1986 Baginda telah menaikkan taraf Jabatan Hal Ehwal Agama Islam menjadi sebuah Kementerian yang tersendiri yang dikenali sebagai Kementerian Hal Ehwal Agama. Baginda juga mempraktikkan muamalah secara Islam dengan memperkenankan penubuhan Bank Islam Brunei (IBB), Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB), dan Takaful Islam untuk beroperasi di negara ini. Baginda juga telah mengharamkan arak di Brunei dengan sepenuhnya pada tahun 1990. Baginda juga memerintahkan penulisan Mushaf Brunei Darussalam dan mencetaknya sebanyak lebih sebanyak lebih 150 ribu naskhah untuk digunakan oleh umat Islam di negara ini.

Islam dalam Perlembagaan Brunei 1959
Agama Islam telah diberi kedudukan yang istimewa di dalam pentadbiran dan halatuju negara. Perlembagaan Brunei Darussalam 1959 telah memperuntukkan bahawa agama rasmi bagi Brunei Darussalam adalah agama Islam dan ketua ugama negara adalah Sultan.Wawasan Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah negara Islam danseterusnya sebagai Negara Melayu Islam Beraja (MIB) dengan jelasnyadiperkukuhkan lagi dengan titah pemasyhuran kemerdekaan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mui’zzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam semasa Permasyhuran Kemerdekaan Negara Brunei Darussalam pada 1 Januari 1984, dimana baginda telah bertitah:

“Negara Brunei Darussalam adalah dengan izin dan limpah kurnia Allah Subhanahu Wata’ala, akan selama-lamanya kekal menjadi sebuah Negara Melayu Islam Beraja yang Merdeka, Berdaulat dan Demokratik bersendikankepada ajaran-ajaran Ugama Islam menurut Ahli Sunnah Waljama’ah dandengan berasaskan keadilan dan amanah dan kebebasan, dan dengan petunjuk serta keredhaan Allah Subḥānahu Wataālā….”

Menerusi perlembagaan dan titah Baginda di atas, jelas menunjukkan bahawa Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah negara berfalsafah MIB telah menjunjung dan menanai Islam menurut aqidah Ahli Sunnah Waljama’ah sebagai asas dalam mencorak dan membentuk serta membangunkan negara dan rakyat ke arah jalan yang diredhai Allah Subḥānahu Wataālā sejak zaman berzaman lagi. Dalam erti kata yang lain, aliran yang berbeza dengan aliran Ahli Sunnah Waljama’ah tidak akan mendapattempat di dalam pentadbiran kerajaan dan masyarakat keseluruhannya. Ke arah itu,Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mui’zzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ada menegaskan di dalam titah Baginda di Majlis Sambutan Israk Mikraj 1411H pada 12Februari 1991:

“Di samping itu, satu perkara lagi yang paling mustahak beta sebutkan di siniialah mengenai dengan ajaran-ajaran agama Islam yang kita amalkan selama ini perlulah dipastikan ianya berjalan dengan kukuh dan baik. Pegangan kita yang kuat itu ialahmenurut aqidah Ahli Sunnah Waljama’ah semata-semata..”

Konsep Melayu Islam Beraja
Menurut Pehin Orang Kaya Laila Wijaya Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Aziz bin Begawan Pehin Udana Khatib Dato Seri Paduka Haji Awang Umar (1992),MIB itu pada asasnya adalah tiga unsur komponen penting iaitu Melayu (M), Islam (I) dan Beraja (B). Dalam menafsirkan MIB sebagai falsafah Negara Brunei Darussalam, ketiga komponen MIB tidak boleh dilihat secara berpisah-pisah.Oleh kerana komponen M, I dan B mempunyai kaitan antara satu dengan yang lain. MIB haruslah dilihat secara integral dan utuh sehingga bentuk MIB sebagai falsafah Negara Brunei Darussalam menjadi unik. Pemahaman MIB secara parsial dan terpisah akan membuat konsep MIB itu menjadi tidak lengkap.Konsep Melayu Islam Beraja atau MIB yang menjadi falsafah Negara Brunei Darussalam ini hendaklah dilihat pada nilai yang wujud dalam konsep berkenaan. Oleh itu konsep tersebut hendaklah dilihat sebagai sesuatu yang berintegrasi antara satu sama lain. Islam yang terkandung di dalamnya bukan sahaja sebagai akar dan paksi bagi mengimbangi konsep berkenaan, malah sebagai penentu dan rujukan bagi setiap tindakan.Sebagaimana titah Kebawah Duli yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-PertuanNegara Brunei Darussalam, di Majlis Pertandingan Membaca Al-Quran PeringkatKebangsaan pada 14 Januari 1991:

“Maka demikianlah halnya dengan nilai-nilai yang ada pada kita. Kita ambil satu contoh nilai yang paling agung dan tertinggi iaitu konsep Melayu Islam Beraja. Ia tidak syak lagi merupakan benih satu-satunya yang boleh tumbuh di bumi Brunei Darussalam. Kerana dari sifat-sifat semulajadinya menunjukkan bahawa ianya memang benih yang asli, yang sudah sedia wujud dan ditakdirkan oleh Allah Subḥānahu Wataālā untuk Brunei Darussalam. Daripadanya akan terpancar segala kebajikan yang kita perlukan. Ialah panduan tata negara kita, bahawa dari tafsirannya dan huraiannya yang meletakkan kita di barisan negara-negara yang bukan sekular yang mempunyai identiti dan imej tersendiri yang teguh.

Komponen Islam di dalam MIB diakui sebagai agama rasmi negara menurut aqidah Ahli Sunnah Waljamaah yang dihayati menjadi cara hidup yang lengkap,sempurna dan unggul. Menurut Pehin Jawatan Luar Pekerma Raja Dato Seri UtamaUstaz Haji Awang Mohd Zain bin Haji Serudin (1994), sebagai satu bangsa secarakeseluruhannya, maka masyarakat Brunei Darussalam tidak pernah luput daripada pegangan serta sifat-sifat mulia. Cara hidup yang sangat membanggakan iaitu cara hidup kebruneian dengan unsur serta corak Melayu, Islam dan Beraja adalah sentiasa menjadi asas dan landasan bagi rakyat dan penduduk Brunei Darussalam menikmati kehidupan yang penuh berkebajikan. Sehubungan dengan itu, maka dorongan-dorongan untuk masyarakat Brunei kekal bersatu padu dan meningkatkan mutu perpaduan adalah sangat jelas. Dengan pegangan taat kepada Allah Subḥānahu Wataālā, setia kepada raja dan kerajaan, maka terbentuklah sebuah kelompok masyarakat yang cintakan hidup rukun damai, hormat-menghormati, bersopan lagi beradab di bawah pimpinan kerajaan yang tidak putus-putus berkhidmat bagi kebajikan serta kesejahteraan segala isi di dalamnya.

Konsep Negara Zikir
Tidak cukup dengan itu, Negara Brunei Darussalam melangkah setapak lagi  ke hadapan dengan berusaha menjadikan Negara Brunei Darussalam sebagai Negara Zikir. Negara Zikir merupakan suatu impian baharu yang diilhamkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal BolkiahMu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang DiPertuan Negara Brunei Darussalam melalui titah Baginda sempena Sambutan Hari Raya Aidiladha 1428H pada 19 Disember 2007:

Brunei adalah negara yang selalu bersama-sama dengan al-Raḥman (yangMaha Pengasih), yang sentiasa berhias dengan zikir dan menjadikannya s ebagai rutin kebiasaan. Kerana itu Allah pun, dengan rahmat-Nya,memalingkan kita daripada sebarang kesusahan dan bencana, dari pelbagai anasir yang boleh merosakkan keamanan. Beta, Insya Allah, akan terus berazam untuk menjadikan Brunei Darussalam sebuah ‘Negara Zikir’ yang sentiasa mengagungkan Allah, supaya kita selaluberada dalam perhatian dan pemeliharaan-Nya, sesuai dengan janji-Nyadalam Surah al-Baqarah ayat 152 tafsirnya, ‘kamu ingati Aku, nescaya Aku akan mengingati kamu pula’..

Keazaman Baginda tersebut lahir daripada keyakinan mendalam bahawa Negara Zikir itu pasti diberkati oleh Allah Subḥānahu Wataālā dan akan mendapat rahmat serta pertolongan-Nya. Tidak syak lagi, konsep ini merupakan aspirasi dan harapan Baginda dalam merealisasikan usaha membangun umatnya. Baginda sangatmenitikberatkan ajaran agama Islam dan sentiasa berusaha untuk memastikan ajaranagama Islam mekar dan subur berkembang di bumi Darussalam ini.Walau apa pun cabaran yang mendatang, negara yang kecil lagi harmoni dansejahtera ini tetap teguh dengan nilai-nilai keIslamannya yang ‘tidak akan luput dek hujan, tak lekang dek panas’.

Penerapan Islam dalam Pentadbiran Negara & Sosio Budaya Brunei
Keagamaan
Kerajaan telah lama memberikan perhatian kepada perkembangan ugama Islam, apabila Al-Marhum Sultan Haji Omar Ali Saifuddien menaiki takhta kerajaan, baginda telah memberikan sumbangan besar kepada perkembangan ugama Islam, dengan meletakkan ugama Islam sebagai ugama rasmi dalam Perlembagaan Negara Brunei  1959 mengikut aliran Ahli Sunnah Waljama’ah, mazhab Syafi’i. kedudukan Islam dalam perlembagaan itu diperkukuhkan lagi oleh KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Muizzaddin Waddaulah, Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam Pemasyhoran Kemerdekaan Negara Brunei Darussalam 1984 dengan lebih jelas dan tegas, lebih bersepadu dan komprenhensif. Hasilnya, kedudukan Islam itu bertambah mantap dan amalan berugama di Negara Brunei Darussalam dapat dilangsungkan dalam kesederhanaan menurut aliran Ahli Sunnah Waljama’ah dari segi akidah dan Mazhab Syafi’i dari segi fiqah. Dengan pegangan ini, umat Islam di Brunei tidak terbawa-bawa oleh pengaruh cara dan corak pemikiran dari luar, di mana amalan dan tindakan yang boleh memecahbelahkan dan menjejaskan kehidupan berugama atau menggugat kestabilan masyarakat dan negara, dapat dihindari. Masyarakat yang berbilang etnik, kaum dan ugama hidup dalam harmoni.

Namun sejak akhir-akhir ini wujud pelbagai siri percubaan dari beberapa individu atau golongan tertentu yang cuba memporak perandakan fahaman yang telah lama diamalkan di negara ini dengan membawa fahaman-fahaman baru yang bercanggah dengan pegangan Ahli Sunnah Waljama'ah masyarakat di Negara ini seperti fahaman Bahai, Qadiani, Al-Arqam, Batiniyyah, Wahabi dan dan sebagainya. Hati-hatilah dengan gerakan-gerakan ini kerana ini akan menyebabkan perpecahan ummah dan keruntuhan negara yang sudah stabil.

Semenjak tahun 1959, Jabatan Hal Ehwal Ugama dibangun sebagai Institusi Ugama yang bertindak melindungi ugama Islam dan bertanggungjawab dalam semua hal yang berkaitan dengannya di samping berperanan merancang, melaksana, menilai program dan aktiviti demi kepentingan agama Islam di negara ini yang kini dinaiktaraf menjadi sebuah badan induk bagi urusan keugamaan iaitu Kementerian Hal Ehwal Ugama. Justeru, bagi memastikan pegangan masyarakat Islam khususnya Brunei tidak terpesong atau terikut-ikut dengan akidah selain Ahli Sunnah Waljama’ah, maka Jabatan Hal Ehwal Syariah ditubuhkan pada 21hb Oktober 1986 dengan bertanggung jawab secara langsung melalui Bahagian Kawalan Akidah & Bahagian Kawalan Halal Haram. Manakala bagi memantapkan syiar dakwah dikalangan rakyat dan penduduk Brunei Darussalam Pusat Dakwah Islamiah ditubuhkan pada tahun yang sama bagi memastikan tujuan tersebut agar syiar Islam terus berkembang. Sehingga 2017 seramai 18, 841 orang telah memeluk Islam semenjak Pusat Dakwah Islamiah ditubuhkan.

Penguatkuasan Kanun Jenayah Syar’iah
Pada 22 Oktober 2013 pula, Negara Brunei Darussalam telah melakar sejarah besar apabila mengazetkan Akta Perintah Kanun Hukunan Jenayah Syar’iah yang berkuatkuasa enam bulan selepasnya secara berfasa. Kebawah Duli Yang MahaMulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Muizzaddin Waddaulah,Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam mengumumkan perkaratersebut ketika bertitah di Perasmian Majlis Ilmu 2013. Hal ini jelas membuktikan kewibawaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan HajiHassanal Bolkiah Muizzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang sentiasa berusaha untuk menerapkan nilai-nilai dan syariat Islam dalam sistem pemerintahan, perundangan dan kehidupan masyarakat BruneiDarussalam.Baginda antara lain bertitah:Dengan izin Allah jua, Akta Perintah ini, pada hari ini, 22hb Oktober, 2013 mula digazetkan, dan akan mula berkuatkuasa enam bulan selepasnya secara berfasa. Dengan ini Alhamdulillah, pada perintah ini tanggungjawab kita dihadapan Allah telah pun tertunai.Majlis ini memaparkan tema berbunyi:

“Undang-Undang Jenayah Syari’ah Menjamin Keadilan dan Kesejahteraan Untuk Semua’. Mengapa ia begitu?Kerana selaku yang datang daripada Allah memanglah wajar dan malah wajib untuk diyakini sebagai mampu untuk menjamin keadilan dan kesejahteraan bagi semua. Undang-Undang Allah disyari’atkan, bukanlah untuk kepentingan-Nya sendiri. Allah sama sekali tidak mempunyai apa-apa hajat, kerana Dia sendiri adalah Maha Sempurna. Yang berhajat itu ialah kita para hamba, termasukhajat untuk dapat menikmati keadilan dan kesejahteraan. Lalu kerana hajat kita itulah, Allah Subḥānahu Wataālā pun, dengan segala sifat kepemurahan- Nya, telah menciptakan undang-undang untuk kita, supaya kitamenggunakannya bagi tujuan memperolehi keadilan..”

Pendidikan
Di Negara Brunei Darussalam, pihak kerajaan sememangnya mengambil berat akanpendidikan bagi rakyatnya. Seperti yang kita sedia maklum, maju dan mundurnyasesebuah negara itu bergantung kepada tahap pendidikan rakyatnya.Falsafah pendidikan Negara Brunei Darussalam adalah pendidikan yangberterusan bersumberkan naqli dan ‘aqli ke arah memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh bagi melahirkan insan yang berilmu dan berkepandaian,beriman, bertaqwa dan beramal serta berakhlak mulia yang akan menimbulkan suatu identiti kebangsaan berdasarkan falsafah Negara iaitu Melayu Islam Beraja bersendikan kepada ajaran-ajaran agama Islam menurut aqidah Ahli Sunnah Waljama’ah sebagai tapak pertumbuhan ketaatan kepada agama, raja dan NegaraBrunei Darussalam.Perkara ini selaras dengan titah Kebawah Duli yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, sempena Sambutan Hari Kebangsaan kali ke-21pada 23 Februari 2005:

“Pendidikan pada khususnya mestilah jelas, bahawa keperluan umum tidakakan mengatasi keperluan ugama. Dalam makna, pendidikan ugama juga hendaklah sama-sama diutamakan. Di peringkat asas, pendidikan ugamahendaklah sempurna, sementara di peringkat tinggi pula hendaklah mampumelahirkan ulama dan cendekiawan berwibawa. Jangan sama sekali ia kurang atau dikurangkan kerana berdasarkan fakta sejarah di mana-mana sahaja, jika pendidikan ugama lemah, maka akan lemahlah pula bangsa..”

Banyak sekolah-sekolah serta institusi-institusi pendidikan tinggi telah ditubuhkan bagi memberikan pendidikan kepada rakyatnya termasuk sekolah-sekolahagama dan menengah arab. Penubuhan Universiti Sultan Sharif Ali merupakan salah satu tanda mercu jaya bagi pendidikan yang berteraskan Islam di Brunei Darussalam. Sebagaimana yang dititahkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka SeriBaginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, sempena Sambutan Awal Tahun Baru Masihi2007 pada 1 Januari 2007:

“Beta dengan amat sukacita mengumumkan penubuhan sebuah Universiti Islam sebagai universiti kedua di negara ini, Universiti tersebut akan dikenalisebagai UNIVERSITI ISLAM SULTAN SHARIF ALI. Universiti ini kita hasratkan akan menjadi mercu kegemilangan Islam di negara kita, dan insyaAllah, ia akan turut berperanan melahirkan para ulama dan cendikiawan yang berwibawa yang diperlukan oleh negara.”

Pada 20 Januari 2007 pula iaitu sempena Sambutan Awal Tahun Baru Hijrah1428, Baginda telah menitahkan bagi Maktab Perguruan Ugama Seri Begawan dinaikkan taraf menjadi Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan. Bagindaantara lain bertitah:

“Di negara ini, salah sebuah institusi perguruan yang perlu kepada peningkatan dan pengembangan ialah Maktab Perguruan Ugama Seri Begawan, memandangkan usianya juga sudah mencapai lebih 30 tahun. Objektif penubuhannya ialah untuk menghasilkan sumber tenaga guru ugama tempatan agar kita tidak selamanya bergantung kepada tenaga luar semata- mata. Matlamat ini, Alhamdulillah, telah berjaya dicapai dan setelah kita berjaya pada satu tahap sepatutnya kita bergerak ke tahap yang lain-lain iaitu tahap untuk memiliki kualiti yang diperlukan. Dengan apakah cara untuk kita sampai kepada tahap yang dimaksudkan sudah barang tentu kita perlumeninggikan taraf maktab berkenaan dengan memberikan nama dan aspirasi baru. Beta berpendapat, nama dan aspirasi tersebut hendaklah konsisten kepada perguruan semata-mata. Ia tidak wajar dicampur-adukkan dengan yang lain-lain. Kerana sebarang percampuran mungkin saja akan mencairkan matlamat asal perguruan. Oleh itu, bersukut dengan Tahun Baru Hijrah 1428 ini, beta dengan amat sukacita mengumumkan bahawa Maktab Perguruan Ugama Seri Begawan akan ditingkatkan tarafnya menjadi kolej universiti perguruan. Ia akan dikenali dengan nama Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan.Kolej universiti ini nanti dihasratkan bagi mengeluarkan diploma dan ijazah.”

Sistem pendidikan rendah & menengah di negara ini juga tidak lupa menyelitkan unsur-unsur keislaman dan kesedaran berbangsa dan bernegara seperti mata pelajaran Pengetahuan Ugama Islam(Islamic Religious Knowledge), Bahasa Arab, MIB dan Pendidikan Pencegahan Rasuah. Di samping itu pakaian para penuntut adalah mengikut kesesuaian semasa dengan berlandaskan agama Islam.Contohnya bagi penuntut lelaki ialah memakai berseluar panjang, berbaju kemeja danbersongkok. Bagi perempuan pula ialah memakai pakaian baju kurung dan tudung. Menurut Pengiran Dato Seri Setia Haji Muhammad Pengiran Haji AbdulRahman (2006), para penuntut diajar adab-adab dan nilai-nilai kerohanian yang murni lagi luhur sejak dari peringkat rendah lagi. Mereka telah diajarkan kaedah beribadat yang sempurna, pandai membaca al-Qur’an, pandai membersihkan diri daripadahadas kecil dan hadas besar, pandai ilmu Fiqh, pandai ilmu Tauhid, ilmu Faraidh, ilmu Adab dan sebagainya. Sebelum memulakan sesuatu pelajaran, doa sebelum belajar akan dibaca dan begitu juga sesudah belajar. Ini adalah bertujuan untuk memberkati apa yang dipelajari oleh mereka. Budaya memberi salam turut dipraktikkan bagi membiasakan para penuntut berinteraksi dengan cara Islam..Di samping meningkatkan keupayaan di dalam ilmu matematik, ilmu sains atau ilmu ICT, asas kerohanian inilah yang akan membezakan anak-anak Brunei Darussalam berbanding anak-anak lain. Ia diharap akan membentuk generasi berilmu,beriman dan berakhlak seperti yang dihasratkan oleh negara.

Sosio budaya dan Kemasyarakatan
Masyarakat Brunei dikenali dengan masyarakat yang kuat dengan amalan beragama. Bersabit daripada itu, semua aspek kehidupan masyarakat akan melambangkan dan bercirikan keagamaan. Oleh itu, kerajaan dan masyarakat tidak akan membelakangkan agama dalam apa juga aktiviti yang menjurus kepada hal ehwal kemasyarakatan. Perkara-perkara yang dimaksudkan itu adalah seperti berikut;

Penutupan Semua Premis Perniagaan Ketika Sembahyang Jumaat;
Hasrat Raja untuk menjadikan Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah Negara Zikir dan mengutamakan aspek-aspek keagamaan dan amalan beragama, maka Kerajaan KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melalui Kementerian Hal Ehwal Dalam Negara, telah mengeluarkan arahan supaya semua premis perniagaan dan pejabat, pusat-pusat rekreasi dan sukan, termasuk pawagam dan padang permainan, gerai/tamu, pasar dan gedung-gedung perniagaan di bawah kawalan Jabatan-Jabatan Daerah dan Lembaga Bandaran hendaklah ditutup pada setiap hari Jumaat mulai jam 12.00 tengah hari hingga jam 2 petang. Arahan penutupan ini berkuatkuasa mulai hari Jumaat 2 November 2012.

Permohonan Mendirikan Kelab Malam;
Permohonan bagi mendirikan kelab malam telah dibuat dalam tahun 1967. Ketika itu, Jabatan Hal Ehwal Ugama telah dipohonkan pandangan daripada Lembaga Bandaran mengenai permohonan berkenaan. Berdasarkan Fatwa Mufti Kerajaan, permohonan tersebut tidak dipertimbangkan sebagaimana Fatwa Mufti Kerajaan menyebutkan;

“Oleh kerana negara ini lslam dan hampir-hampir semua penduduknya lslam dan dalam Undang-Undang Agama No. 20 1955 pun menegah pelacur dan merogol, arak dan seumpamanya dari umat lslam, dan tugas Jabatan Agama pun menahan maksiat dan keruntuhan akhlak dan menguat dan meninggikan lslam, maka wajiblah Jabatan Agama menahan dengan kuatnya apa jua yang melawan dan menentang dan memperolokan Jabatan Agama dan tugasnya (amr makruf dan nahy mungkar) ialahkewajipan raja dan wakil raja dan tiap-tiap orang lslam mengikut kedudukannya masing-masing”

Alhamdulillah, sehingga kini, kelab malam tidak pernah wujud di Negara Brunei Darussalam. Begitu juga dengan rumah-rumah atau kedai-kedai judi.

Pengharaman Arak;
Tindakan kerajaan dalam membenteras minuman yang memabukkan seperti arak, telah mengharmonikan masyarakat ke arah hidup yang lebih lslamik. Tindakan yang dimaksudkan ialah pengharaman arak di Negara Brunei Darussalam. Sebagai Negara yang berfalsafahkan Melayu Islam Beraja, kerajaan telah mengharamkan kemasukan dan penjualan arak di Negara Brunei. Langkah ini adalah langkah bijak dan wajib disyukuri di atas kebijaksanaan kerajaan yang telah mengambil langkah untuk mencegah kemasukan semua jenis minuman keras (arak) dan mengharamkan semua urusan niaga berkaitan arak sama ada menjual, mengedar, mempamerkan dan menghidangkan arak. Begitu juga pengharaman zon khas jual beli arak bagi pelancong bukan lslam di Negara Brunei. Walau bagaimanapun, pengharaman arak tersebut dibuat secara berperingkat peringkat;

i. Pengharamannya dalam majlis-majlis jamuan rasmi;
ii. Pengharaman menghidangkannya dalam pesawat Penerbangan Diraja Brunei bermula 30 November 1988;
iii. Pengharaman di kelab-kelab Angkatan Bersenjata Diraja Brunei dan Polis DirajaBrunei pada 31 Julai 1990;
iv. Pengharaman arak secara total (menyeluruh) berkuatkuasa pada 1 Disember1990.

Kesemua ini dilakukan adalah demi mengelak sesuatu yang buruk berlaku. Ini sudah dikatakan satu budaya yang berteraskan Islam dan mempunyai prinsip yang berdisplin dan sangat bernilai di sisi agama dan undang-undangز

Dalam pembangunkan negara, Brunei Darussalam tidak hanya terumpu pada aspek fizikal tetapi meliputi aspek kerohanian dengan menerapkan nilai-nilai Islam dalam pentadbiran dan pekerjaan baik sektor awam dan swasta. Di samping itu perkara ini sangat berkait dengan aspek budaya dalam 'Beraja'. Ini kerana, penerapan nilai-nilai Islam itu dijadikan peranan bagi 'Melayu' dan 'Beraja'.

Larangan Merokok;
Dalam usaha untuk menyedarkan masyarakat tentang bahaya rokok dan merokok, Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia telah pun mengisytiharkan semenjak tahun 1994 lagi, bahawa semua bangunan-bangunan kementerian dan jabatan-jabatan 19 kerajaan adalah sebagai tempat ditegah merokok. Penguatkuasaan larangan tersebut termasuklah juga premis-premis dan bangunan-bangunan seperti masjid, kantin, dewan serbaguna, pusat kesihatan dan sebagainya. Begitu juga, dengan berkuatkuasanya Perintah Tembakau 2005, tempat-tempat tegahan merokok juga diperluaskan dan dilaratkan ke semua kawasan di dalam sesebuah institusi pendidikan dan institusi pendidikan tinggi dan juga ke semua premis atau bangunan yang digunakan bagi maksud perdagangan, restoran, kafe internatif, taman peranginan dan sebagainya. Bukan setakat itu, mana-mana kenderaan atau jenis kenderaan perkhidmatan awam seperti bas-bas awam dan teksi-teksi, turut tidak dibenarkan merokok di dalamnya. Menurut fatwa Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam dalam buku yang bertajuk 'Rokok dan Merokok' ada menjelaskan sepertikut berikut: "Islam sebagai agama sejahtera, agama yang sangat menghargai nyawa dan mementingkan kesihatan, keafiatan, kecergasan dan kekuatan bagi beribadat kepada Allah Subhanahu Wata 'ala, telah menyediakan kawalan-kawalan yang boleh menjamin dan memelihara semua itu melalui hukum halal haramnya. Ia telah menetapkan satu kaedah menolak mudarat. Jika suatu benda itu nyata mendatangkan mudarat, kerosakan dan kebinasaan, maka memakannya termasuk menghisapnya hukumnya haram."

PENUTUP
Dari perbincangan di atas, dapatlah kita simpulkan bahawa Islam adalah teras sosio-budaya masyarakat Brunei Darussalam. Islam juga berperanan sebagai benteng di dalam mempertahankan identiti kebangsaan. Seterusnya, ianya juga dijadikan falsafah sosial atau sistem nilai dalam semua tindak tanduk kehidupan bernegara. Agama Islam ini merupakan akar dan paksi dalam falsafah MIB sebagaifalsafah negara sekaligus menjadi ‘nadi denyut’ dalam kehidupan sosio-budayaNegara Brunei Darussalam. Insititusi Islam telah menjadi nadi penggerak kepada kekuatan dan kesinambungan fahaman dan amalan kehidupan berfalsafah MIB. Walaupun konsep MIB tersebut nampaknya mempunyai tiga komponen, tetapi komponen Melayu dan komponen Beraja itu terikat dengan komponen Islam, di mana konsep Melayu Islam Beraja itu tidak boleh tanpa pegangan Islam. Atas dasar ini,Islam menjadi pilihan utama dalam semua gerak laku kehidupan, sama ada di pihak kerajaan mahu pun di pihak rakyat. Mana-mana kegiatan kehidupan yang jauh terpesong dari ajaran agama Islam adalah menjadi sesuatu yang bertentangan dengankehidupan sosio-budaya Negara Brunei Darussalam.Nilai-nilai keIslaman adalah sebagai penentu dan penjamin survival bangsaFalsafah ini memberi keyakinan dan jati diri kepada bangsa Brunei Darussalam untukberhadapan dan berinteraksi dengan masyarakat dunia antarabangsa dalam bidang infrastuktur, ekonomi dan lain-lain lagi.Elemen keIslaman ini juga adalah landasan bagi mendapatkan ilmupengetahuan, kerohanian, teknologi dan berbagai cabang kemahiran. Apa yang jelas,pembangunan negara yang berasaskan agama Islam ini menekankan kepada pembangunan yang seimbang di antara material dan spiritual. Dalam tempoh 30 tahun melalui arus kemerdekaan, Negara Brunei Darussalam di bawah nilai-nilai keIslaman telah dapat memenuhi perlaksanaan dan halatuju wawasan yang telah divisikan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia PadukaSeri BagindaSultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke arah menjadikan Negara BruneiDarussalam sebagai بلدة طيبة ورب غفور






RUJUKAN
al-Qur’an  al-Kareem.

Ahmad Abdussalam Abdul Rahman. 2010. Brunei Darussalam Negara Zikir: Hasrat Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Melayu Islam Beraja, hlm. 134-144. Brunei: Akademi Pengajian Brunei, Universiti BruneiDarussalam.Hashim Abdul Hamid. 2008.

Qarar.Brunei: Dewan Bahasa dan Pustaka Jabatan Majlis-Majlis Mesyuarat. 2010. Laporan Penuh Persidangan Majlis Mesyuarat Negara. Brunei, 11-22 MacJabatan Perkhidmatan Awam. 2012.

Peraturan-Peraturan Am / Perkhidmatan dan Hal Ehwal Pengurusan Dalam Perkhidmatan Awam. Brunei: Jabatan Perkhidmatan Awam.Jabatan Pertanian. 2009.

Pelan Strategik Jangka Program Pelaksanaan Jangkamasa Sederhana (2008-2013). Brunei: Jabatan Pertanian. t.th. Prospektus Jenama Brunei Halal.

Mahmud Saedon Othman. 1996.Perlaksanaan Dan Pentadbiran Undang-Undang Islam Di Negara Brunei Darussalam: Satu Tinjauan. Brunei: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned. 1992. Islam di Brunei Zaman Pemerintahan KDYMM Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam. Brunei: Pusat Sejarah Brunei.
Pehin Jawatan Dalam Seri Maharaja Dato Seri Utama Haji Awang Mohd. Jamil Al- Sufri bin Begawan Pehin Udana Khatib Dato Seri Paduka Haji Awang Umar.1990.Latar Belakang Sejarah Brunei. Brunei: Pusat Sejarah Brunei

Pehin Jawatan Luar Pekerma Raja Dato Seri Utama Ustaz Haji Awang Mohd. Zain bin Haji Serudin. 1994. MIB Sebagai Landasan Cara Hidup. Dlm. Pehin Jawatan Luar Pekerma Raja Dato Seri Utama Ustaz Haji Awang Mohd. Zainbin Haji Serudin.Brunei Sebuah Negara Islam: Latar Belakang Keislamannya . hlm 133-173. Brunei: Akademi Pengajian Brunei, UniversitiBrunei Darussalam.

Pehin Orang Kaya Amar Diraja Dato Seri Utama Haji Awang Mohd. Jamil Al-Sufri bin Begawan Pehin Udana Khatib Dato Seri Paduka Haji Awang Umar. 1971.Catatan Sejarah Perwira-Perwira dan Pembesar-Pembesar Brunei I . Brunei:Dewan Bahasa dan Pustaka.

Pehin Orang Kaya Laila Wijaya Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Aziz bin Begawan Pehin Udana Khatib Dato Seri Paduka Haji Awang Umar. 1992.Melayu Islam Beraja Negara Brunei Darussalam. Dlm. Akademi Pengajian Brunei.Melayu Islam Beraja, hlm. 2-26. Brunei: Akademi Pengajian Brunei,Universiti Brunei Darussalam.

Pengiran Dato Seri Setia Dr. Haji Muhammad bin Pengiran Haji Abdul Rahman. 2006.Membentuk Generasi Berilmu, Beriman dan Berakhlak: Hubungannya Dengan Negara. Dlm. Jabatan Perdana Menteri.Mendukung Kedaulatan Raja: Raja Berdaulat Negara Berkat Rakyar Selamat . hlm. 105-125.Brunei:Jabatan Perdana Menteri.

Pusat Da’wah Islamiah. 1432H/2011. Negara Sejahtera Tanpa Arak . Brunei: Pusat Da’wah Islamiah.
Titah Permasyhuran Kemerdekaan Negara Brunei Darussalam, 1 Januari 1984. 1411H, 1 Oktober 1990.

Titah di Majlis Pertandingan Membaca Al-Qur’an Peringkat Kebangsaan, 14 Januari 1991.

Titah di Majlis Sambutan Israk Mikraj 1411H, 12 Februari 1991.Titah di Majlis Sambutan Nuzul Al-Qur’an 1412H, 22 Mac 1992.

Titah sempena Sambutan Nuzul al-Qur’an 1416H, 7 Februari 1996.

Titah sempena Sambutan Awal Tahun Baru Masihi 2007, 1 Januari 2007.Titah sempena Sambutan Awal Tahun Baru Hijrah 1428, 20 Januari 2007.

Titah sempena Hari Raya Aidiladha 1428H, 19 Disember 2007.




*[1] MAKALAH Dipersiapkan untuk Disajikan pada Seminar Internasional Da’I Islam Moderat Kalimantan Selatan dengan Tema: “Dakwah Islam Moderat: Antara Konsep dan Aplikasi” Batulicin, Kalsel, 5-7 September 2018.
[2] Haji Abdul Aziz Juned (1987), Beriga, Negara Brunei Darussalam : Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm : 36


Makalah Terkait:
  1. Med Hatta: https://my-bukukuning.blogspot.com/2018/09/risalah-batulicin-seminar-internasional.html#.W5snGdIzY1g
  2. H. Suti Pontong, S.Ag., MM: https://my-bukukuning.blogspot.com/2018/09/seminar-internasional-dai-islam-moderat_51.html#.W5slnNIzY1g
  3. Prof. Dr. M. Hussin Mutalib: https://my-bukukuning.blogspot.com/2018/09/moderasi-dakwah-islam-melestarikan.html#.W5smeNIzY1g
  4. Dr. Muammar Bakry, Lc., MA: https://my-bukukuning.blogspot.com/2018/09/moderasi-dakwah-islam-argumentasi.html#.W5skltIzY1g
  5. Dr. Abdul Rahim Wayayo, MA: https://my-bukukuning.blogspot.com/2018/09/moderasi-dakwah-islam-dakwah-islam-di.html#.W5sl29IzY1g
  6. Dr. M. Tata Taufik, M.Ag: https://my-bukukuning.blogspot.com/2018/09/moderasi-dakwah-islam-arah-pembaharuan.html#.W5sj69IzY1g
  7. Dr. Arifuddin M. Arif, M.Ag: https://my-bukukuning.blogspot.com/2018/09/moderasi-dakwah-islam-menyebarkan-nilai.html#.W5snh9IzY1g
  8. PROPOSAL SEMINAR: http://my-bukukuning.blogspot.com/2018/07/proposal-seminar-internasional-dai.html#.W5sqI9IzY1g
  9. UNDANGAN SEMINAR 1: http://my-bukukuning.blogspot.com/2018/07/undangan-partisipasi-seminar.html#.W5spZNIzY1g
  10. UNDANGAN SEMINAR 2: http://my-bukukuning.blogspot.com/2018/07/blog-post.html#.W5sqn9IzY1g


Tidak ada komentar:

Posting Komentar

Salam!